Wednesday, November 13, 2013

SUP BAYAM DENGAN CENDAWAN

                                    

BAHAN-BAHAN:

2 ikat sayur bayam
150gm cendawan tiram
1 genggam udang kering-direndam
2 biji bawang kecil
2 ulas bawang putih
2 sudu sos tiram
1 sudu kecil minyak bijan
air secukupnya untuk kuah sup
Garam secukup rasa

CARA MEMASAK :

1. Kupas semua bawang dan dimayang halus , potong sayur bayam dan rendam udang kering dalam air panas sehingga lembut kemudian ditos dan ketepikan . Tumbuk semua bawang dengan udang kering sehingga lumat.

2. Bersihkan cendawan kemudian disiat-siat menjadi kecil . Panaskan sedikit minyak dalam frying pan dan tumis semua bahan yang ditumbuk sampai layu . Masukkan air , sos tiram , minyak bijan dan kacau biar mesra serta biar sampai kuah hampir mendidih . 

3. Bila kuah dah nak mendidih boleh dimasukkan semua sayur bayam dan cendawan kemudian terus kacau . Boleh la dirasa jika kurang masin boleh ditambah garam , bila sayur bayam dah masak boleh la ditutup api dapur .

Monday, September 30, 2013

SURAH AL-KAUTSAR

                                             
Surah ini paling pendek, hanya mengandungi 3 ayat. Diturunkan di Makkah dan bermaksud sungai di syurga. Kolam sungai ini diperbuat daripada batu permata nan indah dan cantik.

Rasanya lebih manis daripada madu, warnanya pula lebih putih daripada susu dan lebih wangi daripada kasturi. 

Surah ini disifatkan sebagai surah penghibur hati Nabi Muhammad s.a.w. kerana diturunkan ketika baginda bersedih atas kematian 2 orang yang dikasihi iaitu anak lelakinya Ibrahim dan bapa saudaranya Abu Talib. 

Pelbagai khasiat terkandung di dalam surah ini dan boleh kita amalkan:- 

1. Baca surah ini ketika hujan dan berdoa, mudah-mudahan Allah s.w.t. makbulkan doa kita. 

2. Jika kita kehausan dan tiada air, bacalah surah ini dan gosok dileher, Insya'allah hilang dahaga. 

3. Jika sering sakit mata, seperti berair, gatal, bengkak, sapukan air mawar yang sudah dibacakan surah ini sebanyak 10x pada mata. 

4. Jika rumah dipercayai terkena sihir, baca surah ini 10x, mudah-mudahan Allah s.w.t. bagi ilham pada kita dimana letaknya sihir itu. 

5. Jika membacanya 1,000x rezeki kita akan bertambah. 

6. Jika rajin membacanya, hati kita akan menjadi lembut dan khusyuk ketika menunaikan solat. 

7. Jika orang teraniaya dan dipenjara membacanya sebanyak 71x, Allah s.w.t. akan memberikan bantuan kepadanya kerana dia tidak bersalah tetapi dizalimi. 

Perkara yang baik kita amalkan selalu. Sebar-sebarkan kepada kawan, saudara kita.



Sunday, September 29, 2013

Tanda-tanda gangguan jin ketika atau hendak tidur

TANDA-TANDA SEWAKTU TIDUR
  1. Sangat susah untuk tidur pada waktu malam, sekalipun dapat tidur ia mengambil masa yang lama.
  2. Rasa cemas dan sering terjaga pada waktu malam
  3. Mimpi buruk atau mimpi melihat sesuatu yang menakutkan serta memekik untuk meminta pertolongan tetapi tidak sanggup.
  4. Mimpi melihat sesuatu yang amat menyeramkan
  5. Mimpi melihat binatang seperti ular, kucing, anjng, unta, singa, serigala, dan tikus.
  6. Gigi geraham berbunyi pada waktu malam.
  7. Perasaan sedih ketika tidur.
  8. Berdiri serta berjalan ketika tidur tanpa sedar.
  9. Mimpi jatuh dari tempat yang tinggi.
  10. Mimpi berada di dalam kubur, tempat pembuangan sampah atau tempat yang mengerikan.
  11. Mimpi melihat seseorang yang sangat aneh, seperti sangat tinggi atau sangat pendek.
  12. Mimpi melihat hantu.
TANDA-TANDA SEWAKTU SEDAR
Kepala selalu pening yang bukan disebabkan oleh penyakit, sakit pada dua mata, telinga, hidung, gigi, tekak atau perut.
  1. Selalu lupa perkara ibadah seperti solat, zikir dan lain-lain.
  2. Fikiran selalu terganggu atau bercelaru.
  3. Selalu lesu dan malas yang bukan disebabkan tabiat.
  4. Saraf yang tersumbat.
  5. Sakit pada anggota badan yang tidak ada kaitan dengan penyakit zahir atau Hospital tidak dapat mengetahui masalahnya atau tidak sanggup mengubatnya.

TANDA-TANDA TERKENA SAKA

Ganguan ‘saka’ adalah jin atau jin-jin yang diwarisi daripada seorang manusia kepada seorang manusia lain sama ada secara disedari atau tidak disedari, yang biasanya melibatkan keturunan. Sebenarnya, apa sahaja jin-jin atau hantu-hantu (roh sesat) yang diwarisi adalah saka tidak mengira jin keturunan, segala hantu-hantu seperti hantu raya, perbomohan, jin nenek moyang dan sebagainya. Namun bagi masyarakat Melayu, ‘saka’ lebih difahami sebagai jin/ nenek moyang yang diturunkan  daripada orang yang lebih tua (datuk, nenek, bapa, bapa saudara ke bawah) kepada orang yang lebih muda yang ada pertalian darah dengannya (seperti anak, cucu, anak saudara dan sebagainya).
Di zaman dahulu, masyarakat melayu kita gemar berdamping atau memelihara jin-jin untuk dijadikan sebagai pembantu mereka untuk menjaga rumah, keluarga, ladang, melakukan perubatan, persilatan dan sebagainya. Sudah menjadi budaya bahawa setiap keluarga zaman dahulu mendapatkan pembantu dari kalangan jin, sekiranya tidak ada seolah-olah ianya tidak lengkap.  Di dalam Islam, kita disuruh berdoa dan mohon pertolongan dari Allah saw dan kita dilarang berdamping atau meminta pertolongan dari makhluk-makhluk halus.  Mungkin pada masa dahulu, masyarakat melayu masih lagi daif berkenaan dengan perkara-perkara ini dan mereka membuat demikian disebabkan oleh budaya melayu lama.  Umur jin lebih panjang daripada umur manusia, ada yang ratusan (yang umur pendek) dan biasanya ribuan tahun.  Oleh kerana telah ada “kontrak” atau perjanjian di antara jin dengan tuan punya jin tadi, maka jin itu akan terus mendampingi tuannya buat selamanya selagi tidak dibuang.  Kaum jenis jin mempunyai satu ciri yang sungguh istimewa iaitu “taat setia” kepada tuannya.  Kalau kita mengingati kembali cerita Nabi Sulaiman a.s, bagaimana kaum jin taat setia berkhidmat kepada Nabi Sulaiman sehinggalah mereka ternampak tongkat Nabi sulaiman a.s telah dimakan anai-anai baharulah mereka menyedari bahawa Nabi Sulaiman a.s telah mangkat dan baru mereka berhenti berkhidmat kepada Nabi Sulaiman a.s.  Setelah tuan punya tadi meninggal dunia, jin itu akan mendampingi pula keturunannya atau warisnya sehingga berapa keturunan selagi jin itu tidak mati atau dikeluarkan. Sekiranya jin itu jenis yang banyak atau beranak-pinak, maka selagi tidak dibuang selagi itulah mereka akan mendampingi keluarga tersebut dan bilangan jin dalam badan individu itu akan bertambah.
Untuk saka yg disedari - biasanya keturunan itu akan memelihara adat-adat tertentu seperti membuat kenduri pada masa-masa tertentu, melakukan upacara-upacara tertentu pada masa-masa tertentu, menyimpan barang pusaka khas (seperti kain berwarna, alat perhiasan, barang kemas, senjata dan sebagainya), yakin diri bahawa keluarga mereka masih dalam penjagaan nenek moyang (walaupun nenek moyang itu tinggal jauh ataupun telah lama meninggal dunia), membaca dan mengamal mentera-mentera tertentu ataupun lain-lain.
Untuk saka yang tidak disedari - tiba-tiba ada anggota keluarga yang terkena penyakit ganjil, atau mimpi yang menakutkan, dan kemudian dibawa berubat dan diberitahu oleh perawat bahawa itu semua akibat gangguan saka.
Kita lihat pada masyarakat hari ini banyak kejadian yang tidak diingini telah berlaku dan akan berlaku jika tidak dihindarkan. Malah, ada juga terdapat bayi yang baru dilahirkan diganggu oleh jin-jin saka ini.  Terdapat banyak kes-kes yang bayi selepas lahir, bayi kerap menangis tanpa sebab.  Dari sudut perubatan moden, mungkin bayi ini ada masalah “colic” tapi selalunya didapati bayi-bayi ini menangis sebab ada benda-benda halus di dalam badan mereka. Anak kecil atau bayi yang baru lahir tidak pandai bercakap atau mengadu dan melalui tangisan sahajalah mereka dapat meluahkan perasaan mereka.  Kalau orang dewasa merasa sakit sekiranya ada jin-jin dalam badan, inikan pula anak kecil yang baru lahir dapat menahan kesakitan apabila adanya jin dalam tubuh kecil itu.  Sekiranya anak kecil itu tidak sakit mestilah dia tidak akan menangis kecuali bayi itu lapar atau pampers perlu diganti.
Terdapat juga kes-kes suami isteri yang telah bertahun-tahun berkahwin tetapi sukar untuk mendapat anak. Mereka puas mencuba rawatan moden di hospital untuk berlakunya persemaian tetapi masih juga gagal.  Ada ramai kes-kes keguguran berlaku disebabkan oleh gangguan saka.  Di dalam situasi demikian, besar kemungkinan jin-jin saka dalam badan isteri menggangu atau merosakan janin-janin di dalam rahim isteri.  Oleh itu di sini saya ingin menjelaskan bahawa salah satu dari sebab mengapa sesetengah pasangan suami isteri sukar untuk mendapat zuriat adalah disebabkan gangguan saka.
Di antara simtom-simtom yang selalunya dirasa oleh pesakit yang ada gangguan saka adalah  seperti berikut :-
  1. Sakit anggota badan  : bahagian pinggang dan tulang belakang, tengkuk dan leher, kepala, rahim, dan sebagainya.
  2. Gangguan emosi dan perasaan : “moody” atau terjadi perasaan marah atau perasaan sedih tanpa sebab.
  3. Gangguan pemikiran dan minda – fikiran rasa berserabut, “confused”, hilang keyakinan diri, “high anxiety”, susah nak fokus dan sebagainya.
  4. Gangguan tidur : selalu mengantuk atau sukar untuk lena tidur.
  5. Halusinasi atau gambaran-gambaran yang pelik-pelik dalam minda pesakit
  6. Sesak nafas atau mengah
  7. Letih badan dan tidak bermaya. Bahagian pinggang kebawah hingga ke kaki berasa lemah dan kadang kala berasa kebas.
  8. Nafsu selalu terangsang atau lemah tenaga batin.
Simptom yang disebut di atas adalah kesan adanya jin-jin saka dalam badan pesakit.  Bila jin-jin ini ada di dalam badan kita, selalunya mereka akan berada di celah-celah tulang belakang di mana terletaknya urat saraf  atau di dalam otak kita.
Ini adalah dua tempat “kegemarannya” bila mereka berada di dalam badan kita.  Kenapa mereka suka berada di tempat ini kerana di dalam badan manusia, otak dan tulang belakang adalah organ yang paling penting selain dari jantung manusia.  Di sinilah mereka boleh menguasai pergerakan tubuh badan kita melalu urat saraf dan menguasai emosi, minda dan permikiran kita melalui otak kita.
Diantaranya lagi :
1) Kerap bermimpi menyusukan bayi.
2) Kerap bermimpi dikelilingi kanak-kanak.
3) Kerap bermimpi ada seseorang ingin memberi sesuatu didalam mimpi.
4) Boleh mengubat belajar melalui mimpi.
5) Boleh mengurut belajar melalui mimpi.
6) Boleh menelek sejarah/sifat seseorang.
7) Sering sakit lutut tanpa sebab klinikal.
8) Nyanyuk ketika usia tua.
9) Panas baran.
10) Kerap bermimpi rumah lama/rumah pusaka.
11) Kerap bermimpi ahli keluarga yang telah lama meninggal dunia.
12) Sakit anggota badan/pengsan bila menziarahi orang yang meninggal dunia.
13) Banyak penyakit genetik/ketumbuhan ganjil pada badan.
14) Mendakwa boleh melihat jin/makhluk halus.
Mudah-mudahan ilmu yang dicurahkan ini dapat kita  ambil sebagai satu inspirasi untuk perubahan pada masa akan datang.
Wallahu a’lam

Saturday, September 28, 2013

USAHLAH BERDENDAM DAN BERMUSUHAN

Usahlah berdendam dan bermusuhan. Sakit sekelumit manapun dalam hati janganlah dibawa sampai mati. Fikirkan keadaan nasib kita semua di akhirat kelak. Hitungan  dan penilaian Allah dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar pekara yang dikerjakan oleh kita selama di dunia akan diperhalusi umpama sehelai rambut dibelah tujuh terlalu halus penelitian-Nya. 

Ingatlah, sebagai manusia kita juga tidak terlepas dari berbuat 
dosa…lalu kepada siapa lagi untuk memohon keampunan? jika 
tidak mengharapkan Allah mengampuni dosa kita. Inikan pula dosa kita 
sesama manusia. 



Sifat pegampun kita terhadap manusia lain amat kecil sekali.Tidakkah kita 
sedar bahawa betapa kedekut dan sombongnya kita. 
Sedangkan Pengampunan Allah lebih luas dan kaya dengan keampunan.

NOTA CINTA BUAT SUAMI


Suamiku...

Sudah lama rasanya kita tidak berbicara tentang cinta.
Mungkin kesibukan kita  dalam urusan seharian kita bersama menjadikan kita terlupa bahasa cinta kita. Atau adakah kesibukan kita bersama dalam melayari rumahtanggan ini menjadi penghalang buat kita bermadu kasih. Saat keletihan dalam urusan kadang-kadang terlupa pula kita untuk saling menguntum senyuman.
Suamiku...pandanglah dalam-dalam mataku ini, tundukkan pandangmu renunglah mata cintaku ini.
Agar bisa kau melihat sinar cintaku terhadapmu yang tidak pernah padam. Agar dikau bisa kembali bersemangat dalam perjuangan ini mencari rezeki buat diriku dan anak-anak.
Suamiku...
Tiuplah hembusan cintamu pada diriku selalu, ibarat diriku ini adalah api dan dikau adalah angin. Setiap kali angin menghembus maka akan terus ia bernyala-nyala. Biar semarak cinta kita kerana perkahwinan kita masih panjang. Banyak perkara yang kita tempuhi dan yang bakal datang menduga. Seandainya cinta kita ini rapuh pasti akan patah jua. Ibarat dahan yang reput menunggu masa.
Suamiku...
Ku ingin dikau tahu, bahawa diriku ini sentiasa membayangi cinta padamu. Aku sentiasa memandangmu meskipun dikau berada dihadapanku.  Aku sentiasa merenung wajahmu saat dikau terlena di kamar tidur. Biarpun malam melindungi sinar wajahmu namun hangatnya cintaku ini seakan bercahaya menyinari wajahmu. Terlihat wajah kepenatanmu, membuatkan diriku terharu. Terima kasih kerana menjaga daku sekeluarga. 
Suamiku...
Biar apa pun masalah yang melanda dalam hidupmu, sudilah kiranya dikau berkongsi kisah denganku. Biarku tahu betapa besarnya pengorbananmu demi diriku dan keluargamu. Supaya daku sentiasa sedar dan tahu bahawa dikau benar-benar mengasihi dan menyayangi diriku. Kerana ku tahu bahawa dikau tidak selalunya mampu mengucap cinta padaku. Namun cukuplah bagiku bahawa dikau amat berusaha demi untuk keluarga kita ini. Jangan sesekali menutup kisah dukamu dibalik sifat pendiammu. Aku ini adalah ibarat penawar buatmu...bukankah daku ini rusukmu, yang bukan sekadar rusuk pendokong tubuhmu tetapi  dakulah pendokong setia dibelakangmu.
Suamiku...
Ku sedar bahawa cinta ini tidak mampu menahan segalanya. Adakala saat diuji pasti cinta kita kan goyah.  Adakala kasih sayang kan bergoncang. Oleh kerana itulah kepada Allah jangan sesekali lupa, DIAlah penegak cinta kita bersama. Dialah yang sering menguatkan kudrat kita dalam mencari rezeki serta menumbuhkan harapan untuk sentiasa berusaha. Pada  ketika diri merasa derita, Dialah yang memulihkan penderitaan. Ketika diri kita terasa surutnya kasih sayang Dialah yang mengembangkan kasih sayang kita. Ketika ikatan seakan terlerai Dialah yang memaut tali ikatan kita. Selagi ada jodoh antara kita. Pada-Nya Pemberi Rahmat Yang Paling baik.
Suamiku...
Genggamlah tangaku, pandanglah wajahku, renunglah mataku, kucuplah dahiku dalam kalimat indah ‘Aku masih cintakanmu dan amat menghargaimu’. Kerana mungkin sudah lama kita tidak mempunyai ‘ruang untuk berbuat begitu’. Mudah-mudahan Allah memperbaharui kembali kasih sayang dan cinta kita bersama. Mudah-mudahan Allah  merahmati dan mengampuni dosa antara kita. Dan semoga Allah memberkati rumahtangga ini dengan melimpahkah keluarga yang sakinah serta rimbunan mawadah dan rahmah dalam hubungan kita berdua.
Suamiku...


Aku ingin kau tahu, bahawa tiada tempat untuk isterimu menjatuhkan cinta ini melainkan hanya kepadamu yang ku panggil suami....itulah wadah yang selayaknya buat diriku ini.

Friday, September 27, 2013

HATI JUGAK MAHU HIDUP


Hati itu miliki keadaannya sendiri. Tidak sama seperti akal dan peranannya cukup berbeza. Jika kita kenal akan hati, nescaya akan berlakulah suatu kelainan dalam kehidupan. Hati itu tidak kelihatan namun ia ada. Seperti mana rasa sunyi yang tak kelihatan, tetapi anda boleh merasainya. Ayuh, kenali hati.

Hati seperti rumah kosong
Hati kita sangat kosong, kerana itulah kita merasa sepi dan rindu pada sesuatu. Namun sering kita runsing, kita rindu pada apa. Kita sering hairan mengapa hati mudah sedih dan sukar bahagia. Jika dihulurkan nikmat dunia, ia bahagia namun cuma sebentar. Dunia ini dan isinya mana ada yang kekal. Semuanya hanya sebentar. Hati terus menanti untuk diisi.

Sunyi yang panjang
Hati sering sunyi. Kadangkala pintunya diketuk dari luar. Bila dibuka, tiada siapa pon yang melawatnya. Hanyalah mainan minda dan bisikan syaitan yang ingin memutarbelitkan minda dan menambah kepiluan hati. Hati terus merintih kesedihan dan kekosongan. Hati hanya tetap menunggu kepulangan tuannya. Agar tuannya kembali menjadi teman.

Mencari tempat sandaran
Kasihanilah hatimu wahai insan, ia juga inginkan kehidupan. Hati sering mencari tempat untuk berehat dan bersandar. Namun sering ia tersandar di pohon berduri, dek kesilapan penjaganya. Lantas ia terluka, dan darahnya mengalir dengan banyak dan tidak henti-henti, dek kelalaian penjaganya. Hati itu tidak kelihatan namun ia ada. Lalu ia ingin bersandar pada yang tak kelihatan, tetapi ada. Pada yang Maha Mencipta.

Dibiarkan tertipu
Hati juga sering dibuai dunia. Seperti yang tadi, dihulur dengan dunia. Tetapi kali ini, hampir saja nikmat itu hilang, nikmat yang baru datang. Buaian dunia itu kembali dibuai dan terus dibuai. Lalu hati itu hanyut dalam kebahagiaan kononnya. Namun hati tetap hati. Ia tak kelihatan namun ada. Dan ia cinta pada yang tak kelihatan tetapi ada. Sebanyak mana nikmat dunia pon tidak akan mampu memberinya ketenteraman. Sering ia tertipu oleh alam fantasi, sedangkan ia hidup dalam realitinya.

Sengaja dilupakan
Hati sering rindu pada tuannya. Namun sedih, tuan itu sering lupa padanya. Tuan itu tidak cuba mengenal hati, lalu dilayan dengan apa yang ia benci. Wahai hati, sedih aku melihatmu dilayan sebegitu rupa. Oleh insan-insan yang lupa tentang apa itu hati. Engkau duka dan sengsara, engkau rindu pada kenikmatan abadi, namun dijamu dengan kepahitan dunia. Kasihan engkau wahai engkau wahai hati.

Ini satu pemberian
Wahai manusia, tidakkah kalian terfikir bahawa kalian punyai hati. Kalian punyai rumah yang sangat besar iaitu hati. Inilah kenderaan kehidupan paling berkuasa tinggi, iaitu hati. Inilah harta milik kalian, yang dihadiahkan buat kalian. Tidakkah kalian sedar, bahawa yang sedang kalian bawa itu, adalah hadiah dari Maha Pencipta. Jika hadiah itu kita lempar ke mana saja sesuka hati, memang buruk akhlak kita terhadap hati.

KISAH BENAR....Bekas Lesbian Takut Dilaknat


Hiasan
SAYA bekas siswazah di sebuah institusi pengajian tinggi swasta. Ketika melanjutkan pengajian saya berkenalan dengan B yang belajar di institusi sama, tapi berlainan kursus. B rakan serumah saya dan kami menetap di asrama yang sama. Malah, kami menjadi kawan karib.
Kami berpisah apabila saya tamat belajar. Ketika persahabatan kami terjalin, boleh dikatakan semua aktiviti kami buat bersama seperti pergi ke kelas, belajar, memasak, keluar bersiar selain berkongsi masalah. Saya begitu mengambil berat perihal B begitu juga sebaliknya.
Dalam tempoh persahabatan itu, kami menyalahgunakan erti persahabatan. Kami melakukan aktiviti yang dilaknat Tuhan. Pada awalnya kami hanya melakukan aktiviti ringan saja seperti bercumbu, namun lama kelamaan semakin selesa dengannya selain tidak menganggap ia sebagai satu dosa. Akhirnya kami terlanjur dan menjadi pasangan lesbian.
Ada ketika saya rasa menyesal dan berdosa, tapi apabila bersama B di asrama, perasaan itu hilang entah ke mana. Disebabkan itu kami berterusan dan selesa melakukan perbuatan terkutuk itu.
Saya pernah beritahu B, perbuatan kami lakukan ini adalah berdosa, tapi B hanya menjawab dia sayangkan saya sebab itu dia merelakan perbuatan terkutuk itu.
Apabila saya menjalani latihan industri di sebuah syarikat, saya mengambil peluang yang ada untuk menjauhkan diri. Saya juga tidak lagi menetap di asrama dan duduk menyewa. Saya menghilangkan diri daripada B dan juga dari rakan serumah yang lain. Saya berasa sedikit lega apabila tidak lagi berhubung dan berjumpa dengannya.
Hingga hari ini, saya masih dibelenggu dosa yang pernah dilakukan. Saya selalu bermimpi yang menakutkan dan dalam sebulan boleh dikatakan tiga atau empat kali bermimpi melakukan maksiat dengan B. Saya sering diserang rasa berdosa, menyesal dan takut Allah tidak dapat mengampunkan dosa saya, takut nabi tidak mengaku saya umatnya di akhirat, malah takut tidak dapat berjumpa dengan ibu bapa saya di akhirat kelak.
Awal tahun lepas, saya berusaha untuk mencari B. Tujuan saya mencarinya hanya untuk memohon kemaafan atas perkara yang kami lakukan. Saya berjaya menemui akaun Facebook B. Saya hantarkan pesanan dan memberitahu segala permasalahan yang sering membelenggu diri saya selain rasa bersalah dan menyesal.
Tapi malangnya, B hanya menjawab dia hanya memaafkan saya bila tiba waktunya.
Fikiran saya terganggu akibat daripada maklum balas yang diberikan padahal ketika sama-sama menetap di asrama dulu, B juga merelakan segalanya.
Saya runsing dengan keadaan diri saya sekarang. Saya betul-betul menyesal dengan apa yang terjadi dulu, menyesal dengan dosa yang saya lakukan.
Dr bantulah saya untuk menguatkan kembali keyakinan diri bagi menempuh hidup ini. Saya ingin menjadi anak yang solehah untuk ibu bapa saya. Saya ingin menjadi umat terbaik dan hamba Allah yang diredai. Apa yang perlu saya lakukan sekarang?
Insan kebingungan,
Perak
DR sesungguhnya amat gembira mendengar adik ingin berubah ke arah yang positif.
Keinginan adik untuk bertaubat amat disukai dan diredai Allah seperti mana firman-Nya “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri.” (QS. Al Baqarah: 222)
Secara psikologinya, apabila hubungan persahabatan bertukar menjadi terlalu intim, ia boleh mewujudkan satu bentuk perhubungan yang membabitkan keinginan dan naluri seksual. Ini berlaku apabila desakan ingin disayangi, dihargai dan cinta diterjemahkan dalam manifestasi perlakuan yang boleh mendatangkan unsur keseronokan. Unsur keseronokan ini boleh berlaku dalam bentuk melakukan hubungan maksiat.
Malah, unsur keseronokan adik dan B boleh berterusan sekiranya tiada pihak yang mahu ambil inisiatif untuk berubah. Dalam konteks adik, Dr ingin mengucapkan tahniah kerana adik sudah berusaha untuk tidak terus berada dalam kesesatan.
Kebiasaannya, pihak yang ingin memberhentikan sesuatu tingkah laku bersalah pasti merasa menyesal. Seperti mana adik, rasa sesalan ini terbawa-bawa dalam aktiviti harian termasuk dalam mimpi dan tidur.
Apabila adik tidak lagi melakukan maksiat dengan B secara realitinya, keinginan seksual itu ada kalanya terjelma dalam mimpi adik. Perkara ini lama kelamaan pasti hilang.
Dr juga harap adik tidak menggunakan alasan B yang sukar memaafkan adik ketika ini sebagai helah bela diri untuk adik terus merasa bersalah. Adik sudah berusaha untuk memohon maaf darinya. Jika B masih tidak dapat memaafkan segala apa yang berlaku antara kalian berdua, itu masalah dirinya. Apa yang lebih penting adalah adik tidak lagi melakukan perkara terkutuk itu dan memohon keampunan Allah.
Adik juga memerlukan kekuatan untuk mengembalikan keyakinan diri dalam menempuh kehidupan berliku ini. Dr gembira dan melihat adik mempunyai potensi diri untuk menjadi anak solehah buat kedua ibu bapa. Dr juga yakin adik mempunyai kekuatan menjadi umat terbaik Rasulullah dan menjadi hamba Allah yang diredai.
Allah itu Maha Pengampun. Allah berfirman: “Katakanlah: “Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS. Az-Zumar: 53)
Ayat di atas pastinya membukakan pintu dengan seluas-luasnya bagi seluruh orang yang berdosa dan melakukan kesalahan. Meskipun dosa mereka sudah mencapai hujung langit sekali pun. Adik belum terlambat untuk bertaubat.
Banyak keutamaan bagi orang yang bertaubat. Di antara keutamaan orang-orang yang bertaubat adalah: Allah menugaskan malaikat muqarrabin untuk beristighfar bagi mereka dan berdoa kepada Allah supaya Allah menyelamatkan mereka dari azab neraka. Selain memasukkan mereka ke dalam syurga. Menyelamatkan mereka dari keburukan. Mereka memikirkan urusan mereka di dunia, padahal malaikat sibuk dengan mereka di langit.
Allah berfirman: “(Malaikat-malaikat) yang memikul ‘Arsy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya dan mereka beriman kepadaNya serta meminta ampun bagi orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan): … dan itulah kemenangan yang besar.” (QS.Ghaafir: 7-9).
Semoga yang terbaik menjadi milik adik. Dr doakan adik menjadi wanita dan anak yang solehah serta umat terbaik untuk Rasulullah selain hamba yang sentiasa diredhai-Nya.

Manusia Bersayap!


CERITA makhluk seakan manusia mempunyai sayap sering kita dengar atau lihat melalui filem atau drama televisyen.Tetapi, seorang pengamal perubatan alternatif, Khairul Syakirin Abdul Wahab yang berasal dari Kemaman, Terengganu mendakwa pernah berjumpa dan berbual dengan makhluk seakan manusia bersayap.
Katanya, peristiwa itu berlaku tiga tahun lepas.
“Kejadian itu berlaku di Kemaman semasa sedang merawat seorang remaja berumur 14 tahun yang dirasuk jin.
“Kejadian itu menyebabkan keluarga remaja itu sanggup datang dari Johor Bahru, Johor untuk merawat anaknya,” katanya.
Tutur Khairul, dia berkesempatan berbual-bual dengan makhluk tersebut.
Menurut cerita lisan sebelum manusia mendiami bumi ini, terdapat makhluk lain yang mendiami bumi dulu. Mereka ini dikenali sebagai bangsa Polip.Bangsa Polip hidup di bumi jutaan tahun dahulu sebelum manusia.
Uniknya, mereka bukan jin, malaikat atau manusia tetapi fizikalnya seakan-akan manusia cuma mempunyai sayap untuk terbang seperti seekor burung. Khairul memberitahu, makhluk itu memperkenalkan namanya sebagai Mizari.
“Mizari mendakwa telah wujud sebelum manusia tetapi kerana mengingkari perintah Tuhan mereka dihukum tidak mempunyai zuriat selain tidak akan mati.
“Katanya, jumlah mereka sekitar 7,000. Mizari sendiri mendakwa telah hidup selama empat juta 130 ribu tahun,” katanya.
Namun, akhirnya Mizari bersetuju untuk keluar daripada dalam badan remaja tadi tetapi dengan satu syarat iaitu bersalaman dengan kedua-dua ibubapa mangsa terbabit sebagai tanda memohon maaf.
Khairul memberitahu, dia berkesempatan berjumpa dengan Mizari beberapa hari selepas itu.
“Badannya dipenuhi dengan bulu berwarna putih, berwajah manusia yang cukup tampan serta bersayap. Tetapi, saya anggap semua ini mungkin mimpi atau gangguan jin semata-mata.
“Ini kerana tiada bukti bercetak atau rakaman video yang direkodkan mengenai makhluk ini,” ujarnya.
Realitinya, kes sebegini bukan sekadar berlaku di negara ini malah di negara Eropah dan Asia lain seperti Britain dan China.Beberapa tahun lepas, satu kejadian pelik di Derbyshire Countryside, Britain. Seorang warga tempatan menemui sejenis makhluk yang mulanya kelihatan seperti seorang bayi.Namun setelah diamati secara dekat, dia mendapati makhluk tersebut menyerupai seorang manusia tetapi mempunyai sayap.
Menurut laporan ujian makmal, makhluk pelik itu memiliki struktur tulang mirip dengan susunan tulang pada badan manusia bezanya terdapat sedikit rongga seperti serangga.Malah, entiti itu memiliki rupa bentuk mirip manusia dengan dua tangan lengkap dengan lima jari dan dua kaki.
Bahagian kepalanya pula dipenuhi rambut berwarna perang keemasan. Bagaimanapun, saintis Britain mendapati, ia hanya sejenis serangga seakan manusia. Beberapa tahun lepas di Guangzhou, China pula gempar dengan foto wanita tua bersayap yang berpakaian serba putih dan telah mati.
Ramai yang menganggap wanita itu malaikat yang jatuh dari langit. Namun, selepas dua orang mahasiswa sebuah universiti tempatan melakukan penyelidikan terhadap gambar tersebut mereka mendapati, ia palsu dan telah diubah suai. Malah, yang dikatakan sayap tiruan itu sebenarnya sayap ayam.

Wednesday, September 25, 2013

Surat Terbuka Kepada PM, Tiada Keistimewaaan Saya Sebagai rakyat Malaysia

Surat Siti Hajar Aladin Kepada Najib Razak (Perdana Menteri). Gaji Bersih RM2032 di KL? Simpanan RM213.40. Boleh Beli Rumah Apa?


Assalamualaikum Dato’ seri.. Tujuan saya (Siti Hajar) menulis surat ini adalah sebagai seorang anak Malaysia yang ingin negaranya membangun dan mengurangkan kemiskinan di negara sendiri (KLIK SINI). Beberapa isu ingin saya ketengahkan kepada Dato’ Seri dan saya berharap apa yang saya perkatakan ini memberi idea dan impak kepada semua rakyat Malaysia.

Saya menulis surat ini adalah…sifat keberanian dalam diri saya dimana saya ingin menjadikan Malaysia ini sebuah Negara Membangun Pesat bukan Negara Yang Sedang Membangun.

Sejak akhir-akhirini isu minyak diperkatakan. Ada yang mengatakan negara-negara jiran kita lebih mahal minyak jika dibandingkan di Malaysia. Ya. Saya setuju tentang kenyataan itu tetapi idea untuk menaikkan harga minyak adalah sesuatu yang memang terang lagi bersuluh bukan idea yang bijak. Jika hari ini kerajaan telah menaikkan harga minyak sebanyak 20 sen, ia bukan sekadar memberi impak kepada golongan muda sahaja tetapi juga golongan miskin dan juga seluruh rakyat Malaysia. Hari pertama harga minyak naik, food court ditempat kerja saya menaikkan harta roti sebanyak 30 sen. Lihat! Impak terhadap kenaikan minyak. Tetapi jika satu hari nanti harga minyak turun walaupun sebanyak 50 sen sekalipun, harga roti yang naik 30 sen ketika harga minyak naik akan kekal sama dan tiada pengurangan. Mungkin ianya kecil pada mata orang-orang yang kaya nilai 20 sen itu tetapi ia cukup berharga kepada kami yang baru sahaja memulakan kehidupan.

Perjalanan hidup saya masih jauh. Umur baru 27 tahun. Belum berkahwin. Tetapi saya dah rasakan bebanan yang saya akan hadapi untuk 10 tahun akan datang. Bagaimana pula sahabat-sahabat saya yang sebaya dengan saya, yang telah berumahtangga? Pasti mereka lebih terbeban akibat krisis kenaikan harga minyak. Boleh dikatakan golongan muda belia ini sangat diperlukan bagi menjamin kesejahteraan Negara pada masa akan datang, tetapi saya tidak nampak bagaimana kami mampu memajukan Negara sedangkan saya sendiri rasa ianya satu penindasan ke atas kami. Apa yang dikatakan penindasan?

Mengenai BR1M. Pada mereka yang diberikan BR1M, pasti mereka akan gembira. Kenaikan BR1M telah memberi impak positif yang besar kepada kerajaan kerana kerajaan telah melaksanakan sebahagian tanggungjawab untuk membantu rakyat, tetapi pada masa yang sama kenaikan harga memberi impak negatif yang lebih besar kepada seluruh rakyat Malaysia baik yang menerima BR1M atau tidak. Mengapa tidak bajet BR1M itu digunakan bagi memberi subsidi minyak?

Kerajaan mengatakan bahawa pemberian BR1M kepada rakyat bagi mengurangkan bebanan terhadap mereka yang berpendapatan rendah. Tetapi saya tidak nampak semua itu. Seperti saya katakan tadi, apabila harga minyak melambung, maka harga barang juga turut melambung. Jadi pemberian itu tidak memberi makna apa-apa terhadap rakyat. Ia umpama buruk siku. Lepas bagi, ambil balik.
Surat Siti Hajar Aladin : BR1M @ Subsidi Minyak?

Dato Seri Najib Razak,



Kadang-kadang saya terfikir, apakah keistimewaan saya sebagai rakyat Malaysia? Adakah hanya sekadar penyumbang ekonomi negara tanpa mendapat sebarang kebaikan daripada negara sendiri? Gaji saya di dalam golongan middle income (RM3,000 – RM5,000). Saya tidak layak menerima BR1M malah saya juga di dalam kategori pembayar tax kepada kerajaan. Golongan middle income pada hari ini masih sukar untuk membeli rumah kerana kos sara hidup yang tinggi. Apakah keistimewaan kami yang mana suatu hari nanti bakal menerajui negara sendiri?

Seterusnya pula, Boleh dikatakan golongan lepasan Ijazah yang belum berkahwin, gaji permulaan bermula RM2200. Maka mereka tidak layak untuk menerima BR1M. Syarat untuk menerima BR1M bagi individu adalah bawah RM2000. Manakala bagi mereka yang telah berkahwin dibawah RM3000. Walaupun gaji mereka Bawah RM3000 dan layak untuk menerima BR1M, ia masih tidak mencukupi kerana mereka ada tanggungan yang perlu ditanggung bukan setakat anak isteri tetapi juga pinjaman pembiayaan pelajaran. Untuk memulakan hidup, saya pasti Dato’ Seri pun tahu bagaimana gigihnya seseorang untuk menanggung keluarga.

Beban atas kenaikan minyak amat dirasai pada golongan kami.

Gaji kasar : RM2300 (fresh graduate)
Gaji bersih : RM2032 (masih tidak layak menerima BR1M)
Kereta : RM 400 (Kawasan yang sukar mendapatkan public transport seperti di kawasan Damansara, maka kami memerlukan kereta)
Tol: RM1.60 x 2 kali sehari : RM 3.20 x 23 hari = RM73.60 (melalui LDP, masih tidak menerima 20% rebate touch n go)
Parking : 23 hari x RM5 = RM115
Minyak : RM 12 x 23 hari = RM230 (dari Taman Melati ke Damansara dan untuk ke kerja sahaja)
Sewa : RM 200 (paling murah di Kuala Lumpur untuk satu bilik)
PTPTN : RM150 (minimum)
Makan untuk sebulan = RM 450 (sehari RM15)
Ibu Ayah = RM200
Baki : RM2032 – RM400 – RM73.60 – RM115 – RM230 – RM200 – RM150 – RM450 – RM200
TOTAL BAKI : RM213.40
Surat Siti Hajar Aladin : Lonjakan Harga Rumah di Malaysia

Ini apa yang pernah saya lalui. Tak dinafikan ada juga beberapa bulan saya tidak dapat membayar PTPTN apabila dalam keadaan yang terdesak seperti memperbaharui roadtax dan insurans kereta dan apabila hari Raya menjelma. Dua keadaan yang perlu dilalui yang memerlukan duit tambahan.

Apabila kita melihat baki bulanan yang sebanyak RM213.40, maka pembelian rumah untuk kami memang jauh sekali. Cuba Dato’ Seri lihat harga rumah pada hari ini. Di Taman Melati, Setapak harga rumah bagi 660 sqf adalah RM150,000 dan interest rate sebanyak 4% untuk 30 tahun,maka setiap bulan perlu membayar RM717. Bagaimana golongan belia pada hari ini mahu memangkin ekonomi masa hadapan? Sedangkan perlaburan terbaik datangnya daripada Pelaburan Hartanah.

Saya telah kira RM213 hanya mampu membeli rumah berharga RM40,000 dengan interest rate sebanyak 4% untuk 30 tahun. Bagaimana kami mampu membantu menjana ekonomi Negara sedangkan gaji kami hanya mampu membayar rumah RM40,000 sahaja? Dan dimanakah rumah yang berharga RM40,000 ini? Di kawasan pedalaman yang memang tidak boleh untuk membuat pelaburan. Kita perlu melihat ke hadapan. 10 tahun akan datang, kami golongan belia bakal menerajui Malaysia. Tetapi ianya tak akan berjaya jika pihak atasan tidak memandang idea dan mendengar suara kami.


Surat Siti Hajar Aladin : Gaji Rakyat Malaysia?

Seterusnya lagi, berkaitan tentang gaji lepasan Ijazah dan diploma. Boleh dikatakan kebanyakan syarikat swasta tidak mahu membayar gaji mengikut qualification yang kami ada. Mereka menganggap kami lepasan ijazah sama seperti lepasan SPM. Gaji yang ditawarkan tidak sepadan dengan gaji yang sepatutnya. Alhamdulillah, saya bekerja di sektor GLC dan gaji yang saya perolehi dianggap memuaskan. Tetapi bagaimana rakan-rakan saya dan belia lain pula? Nasib mereka tidak seperti saya. Saya mencadangkan Dato’ Seri melihat bagaimana pekerja di US. Mungkin US telah maju sekarang ni. Kita buat perbandingan di negara Australia menerima gaji bulanan bagi lepasan ijazah. Sangat berbeza jika dibandingkan di negara kita.

Seterusnya, mengenai status penjawat awam mahupun swasta. Ini masalah yang besar kami hadapi. Kebanyakan syarikat-syarikat baik GLC mahupun Semi- Government mahupun swasta, mereka akan menetapkan setahun kontrak dan selepas itu diserap menjadi penjawat tetap dan ada juga sesetengah syarikat langsung tidak menjadikan penjawat tetap malah akan kekal sebagai penjawat kontrak. Apa masalah yang ingin saya ketengahkan ini adalah berkaitan dengan pinjaman perumahan yang amat sukar. Walaupun sebelum ini telah lama bekerja tetap dan selepas itu mendapat tawaran lebih baik tetapi ianya kontrak, apabila membuat pinjaman perumahan, ia akan ditolak atas alasan pekerja kontrak. Maka harga rumah semakin hari semakin meningkat. Jika ingin menunggu setahun kemudian setelah disahkan penjawat tetap, harga rumah itu juga telah melambung tinggi dan kami tidak dapat membelinya. Ini masalah yang saya hadapi sekarang ini.

Saya sebagai seorang rakyat Malaysia dan juga sebagai seorang yang berpegang kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional, saya merayu agar Dato’ Seri Najib Razak dapat memikirkan masalah yang kami hadapi sekarang ini. Sebagai pemimpin disegani di seluruh dunia, saya pasti Dato’ Seri mampu mengubah dan memperbetulkan apa yang dirasakan membebankan kami.

Terima kasih
Ikhlas,
Siti Hajar binti Aladin