Friday, September 27, 2013

HATI JUGAK MAHU HIDUP


Hati itu miliki keadaannya sendiri. Tidak sama seperti akal dan peranannya cukup berbeza. Jika kita kenal akan hati, nescaya akan berlakulah suatu kelainan dalam kehidupan. Hati itu tidak kelihatan namun ia ada. Seperti mana rasa sunyi yang tak kelihatan, tetapi anda boleh merasainya. Ayuh, kenali hati.

Hati seperti rumah kosong
Hati kita sangat kosong, kerana itulah kita merasa sepi dan rindu pada sesuatu. Namun sering kita runsing, kita rindu pada apa. Kita sering hairan mengapa hati mudah sedih dan sukar bahagia. Jika dihulurkan nikmat dunia, ia bahagia namun cuma sebentar. Dunia ini dan isinya mana ada yang kekal. Semuanya hanya sebentar. Hati terus menanti untuk diisi.

Sunyi yang panjang
Hati sering sunyi. Kadangkala pintunya diketuk dari luar. Bila dibuka, tiada siapa pon yang melawatnya. Hanyalah mainan minda dan bisikan syaitan yang ingin memutarbelitkan minda dan menambah kepiluan hati. Hati terus merintih kesedihan dan kekosongan. Hati hanya tetap menunggu kepulangan tuannya. Agar tuannya kembali menjadi teman.

Mencari tempat sandaran
Kasihanilah hatimu wahai insan, ia juga inginkan kehidupan. Hati sering mencari tempat untuk berehat dan bersandar. Namun sering ia tersandar di pohon berduri, dek kesilapan penjaganya. Lantas ia terluka, dan darahnya mengalir dengan banyak dan tidak henti-henti, dek kelalaian penjaganya. Hati itu tidak kelihatan namun ia ada. Lalu ia ingin bersandar pada yang tak kelihatan, tetapi ada. Pada yang Maha Mencipta.

Dibiarkan tertipu
Hati juga sering dibuai dunia. Seperti yang tadi, dihulur dengan dunia. Tetapi kali ini, hampir saja nikmat itu hilang, nikmat yang baru datang. Buaian dunia itu kembali dibuai dan terus dibuai. Lalu hati itu hanyut dalam kebahagiaan kononnya. Namun hati tetap hati. Ia tak kelihatan namun ada. Dan ia cinta pada yang tak kelihatan tetapi ada. Sebanyak mana nikmat dunia pon tidak akan mampu memberinya ketenteraman. Sering ia tertipu oleh alam fantasi, sedangkan ia hidup dalam realitinya.

Sengaja dilupakan
Hati sering rindu pada tuannya. Namun sedih, tuan itu sering lupa padanya. Tuan itu tidak cuba mengenal hati, lalu dilayan dengan apa yang ia benci. Wahai hati, sedih aku melihatmu dilayan sebegitu rupa. Oleh insan-insan yang lupa tentang apa itu hati. Engkau duka dan sengsara, engkau rindu pada kenikmatan abadi, namun dijamu dengan kepahitan dunia. Kasihan engkau wahai engkau wahai hati.

Ini satu pemberian
Wahai manusia, tidakkah kalian terfikir bahawa kalian punyai hati. Kalian punyai rumah yang sangat besar iaitu hati. Inilah kenderaan kehidupan paling berkuasa tinggi, iaitu hati. Inilah harta milik kalian, yang dihadiahkan buat kalian. Tidakkah kalian sedar, bahawa yang sedang kalian bawa itu, adalah hadiah dari Maha Pencipta. Jika hadiah itu kita lempar ke mana saja sesuka hati, memang buruk akhlak kita terhadap hati.

No comments:

Post a Comment