Friday, July 26, 2013



Segala aspek kehidupan ini bermula daripada hati. Berikut disenaraikan beberapa cara bagaimana hendak mencuci hati:

Dirikan solat dan banyakkan berdoa-ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdoa turut katakanlah “Ya Allah jadikanlah hatiku bersih”.
Selawat ke atas Nabi  Muhammad s.a.w. paling minima 100 kali sehari. Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Di samping dosa-dosa diampunkan, fikiran tenang, murah rezeki dan anda disayangi.
Solat Taubat-Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati serta memberi kelapangan hati dan fikiran.
Membaca al-Quran-Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, penyembuh dan terapi.
Bermaaf-maafan sesama kawan setiap hari-Semasa meminta maaf zahirkan kesalahan yang dibuat jika ada.
Bisikan kepada diri perkara yang positif-Jangan sesekali mengkritik, mengutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri.
Program minda/cuci minda-Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati “Ya Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif”. Menurut kajian psikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya-CUBALAH!!
Berpuasa-Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.
Cuba ingat tentang mati (Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak tergamak kerana bimbang akan mati pada bila-bila masa)
Kekalkan wudhuk.
Bersedekah.
Belanja orang makan.
Jaga makanan-jangan makan makanan yang syubhah.
Berkawan dengan ulama
Berkawan dengan orang miskin (menginsafi diri)
Pesan pada orang supaya menjadi baik.
Menjaga pancaindera (mata, telinga, mulut..dan sebagainya), jangan dengar orang mengumpat.

Thursday, July 4, 2013

ISTERI DIHANTUI DOSA BERZINA DENGAN SUAMI ORANG

Perasaan bersalah sentiasa menghantui kehidupan manusia apatah lagi jika ada melakukan dosa-dosa besar. Inilah yang dikongsikan oleh seorang isteri yang mengakui pernah berzina dengan lelaki lain semasa dalam perkahwinan bersama suaminya. Semoga kisahnya menjadikan tauladan buat semua.

Apa yang saya ingin kongsi ini merupakan satu luahan rasa. Rasa berdosa dan menyesal dengan semua kesalahan dan dosa yang saya telah lakukan. Untuk makluman, saya sudah mendirikan rumah tangga sejak 11 tahun lalu.

Dalam melayari bahtera rumah tangga ini, banyak onak dan duri dilalui dan hanya empat tahun pertama saya kecapi kebahagiaan hidup bersama suami. Masuk tahun seterusnya hingga kini, sukar saya mentafsirkan rasa bahagia itu kerana semuanya berubah.

bekerjaya
Saya seorang yang berkerjaya manakala suami pula mengharapkan hasil titik peluh saya untuk menampung makan dan minumnya. Bertahun-tahun dia tidak bekerja dan kini baru saja bekerja untuk tempoh empat ke lima bulan ini.

Dalam mencari rezeki untuk keluarga ini, saya tinggal di Kuala Lumpur manakala suami dan anak-anak di utara tanah air. Setiap minggu, saya akan pulang ke kampung melihat anak-anak dan menghantar duit belanja untuk saraan hidup mereka.

berkenalan

Suatu hari saya berkenalan dengan seorang lelaki yang juga berstatus suami orang. Dari satu pertemuan, hubungan kami menjadi lebih rapat seolah-olah tidak dapat dipisahkan lagi. Rapat dalam erti kata lain, mengisi kekosongan hati antara satu sama lain.

Sekali pun saya bekerja di Kuala Lumpur manakala “si dia” pula di utara tanah air namun demi saya, dia sanggup berulang-alik dari sana ke Kuala Lumpur menemui saya. Sikapnya begitu mengambil berat membuatkan saya bertambah rasa sayang kepadanya. Lebih membuatkan hubungan kami bertambah rapat, apabila bertemunya, isteri “si dia” sedikit pun tidak pernah menelefon bertanyakan suaminya di mana dan sebagainya.

hanyut dengan nafsu

Hanyut dengan cinta membuatkan saya terjebak dengan dosa besar. Lupa pada dosa yang dilaknat Allah yakni dosa zina. Kami terlanjur beberapa kali. Saya pernah mengajukan pertanyaan, mengajaknya berkahwin malah dia juga ada menyuarakan hal yang sama, yakni mahu mengakhiri hubungan kami dengan perkahwinan namun status saya sebagai isteri orang dan dia sebagai suami orang menghalang segala-galanya.

Demi cinta juga, saya pernah minta cerai daripada suami kerana bagi saya, kehadiran suami tidak ada ertinya lagi dalam kehidupan saya. Selama lima tahun saya hidup sendirian, menguruskan segala-galanya namun suami sedikit pun tidak mahu melepaskan saya.

tersedar

Sikapnya yang enggan melepas saya membuat saya tertanya-tanya di dalam hati, apa sebenarnya yang suami mahukan. Tapi sikapnya itulah membuatkan saya mula tersedar daripada kesilapan yang telah saya lakukan.

Pada awalnya, saya memang berat untuk melupakan “si dia” kerana rasa sayang yang wujud kepadanya, malah dia juga begitu, sukar melupakan saya. Setelah dua tahun bergelumang dengan dosa, akhirnya kami mengambil keputusan untuk berubah dan bertaubat.

Pun begitu, di sebalik rasa taubat ini, wujud rasa takut untuk melalui hari-hari yang mendatang kerana saya tidak dapat melupakan dosa-dosa silam. Semakin saya memohon kepada Allah, semakin kuat rasa ingatan saya terhadap “si dia”. Mungkin inilah ujian hidup saya.

Puan kaunselor, saya ingin menunaikan umrah tetapi sudah dua kali ditangguhkan kerana saya diburu ketakutan apa yang akan terjadi di Tanah Suci nanti. Saya sudah memohon keampunan kepada suami dan suami sudah memaafkan saya tetapi bagaimanakah dengan isteri “si dia”? Perlukah saya memohon kemaafan darinya? Persoalan ini berlegar-legar di hati saya kerana saya sering ternampak wajah wanita itu dalam mimpi atau di dalam keadaan sedar. Berilah saya panduan, apa yang harus saya lakukan?

Adakah dengan memohon maaf dari isterinya hati saya akan tenang dan tidak lagi diburu bayangan lalu. Adakah dengan memohon maaf daripada dia boleh meruntuhkan rumah tangganya? Pelbagai perkara saya fikirkan. Bantulah saya.



SARANAN DR AZNIZA


Assalamualaikum wrt,

Puan yang dimuliakan,

Perzinaan adalah perbuatan terkutuk yang dilaknati Allah SWT, kerana ia membawa kepada keruntuhan maruah, penyelewengan zuriat keturunan serta tidak ada jaminan bertanggungjawab atas perbuatan itu.

rejam sampai mati

Islam memandang berat dan mengenakan hukuman rejam sampai mati ke atas penzina. Hukuman ini menunjukkan bertapa seriusnya Islam dalam menangani perbuatan tidak bermoral ini.

Melayan nafsu yang membawa kepada perzinaan adalah dorongan syaitan yang sentiasa menyesatkan manusia yang leka. Tidak hairanlah hubungan yang asalnya seorang kawan, teman baik, teman tapi mesra dan pelbagai istilah lagi adalah alasan untuk mengembangkan sayap perzinaan yang akhirnya berakhir dengan pembuktian kasih sayang melalui hubungan seksual yang tiada sempadan.

Apa lagi kedua-dua pasangan sudah berkahwin dan mempunyai pasangan hidup masing- masing. Dewasa ini apabila wanita-wanita tidak membatas diri mereka dalam pergaulan maka perzinaan dalam kalangan wanita yang sudah berkahwin semakin meningkat

Kumpulan wanita yang sudah berkahwin ini tanpa segan silu menawarkan khidmat seks kepada lelaki idaman mereka dan menjadikan kerjaya, tempat kerja, ‘out station’, ‘assignment’ dan sebagainya sebagai alasan untuk keluar dan menjalinkan hubungan seksual dengan “pasangan” mereka.

mencari kelainan dan kepuasan maksima

Ramai yang masih menyayangi suami dan keluarga mereka namun mencari kelainan dan kepuasan maksima. Ada yang cuba keluar dari belenggu kebosanan, mencari kehebatan, mencapai dendam dan ada yang tiada alasan namun mengikut saja kata hati dalam konteks memenuhi tuntutan berasmara dengan pasangan gelap mereka 

Ada juga yang melahirkan anak tidak sah taraf yang diselindungkan dari pengetahuan suami (tidak berterus terang) maka anak tersebut akan selama-lamanya menjadi “tidak sah taraf “. Ini menunjukkan gagalnya institusi kekeluargaan bermula dari pasangan itu sendiri.

Puan yang dihormati,

Penyesalan dan bertaubat dari segala dosa adalah perbuatan yang sangat dituntut oleh Islam. Menyesali dengan sebenar-benarnya dan tidak mengulangi semua perbuatan dosa itu semula adalah amalan yang mulia dan perlu disegerakan sebelum Allah SWT menjemput kita kembali kepadanya.

Puan perlu bersyukur kerana puan telah digerakkan oleh Allah SWT untuk menyesali dan bertaubat dalam tempoh masih bernafas dan mampu memohon maaf dengan semua yang terlibat. 

Namun puan perlu menyusun strategi dalam mempertahankan taubat puan serta perlu tabah dalam memohon keampunan tuhan. Antara perkara yang puan perlu fikirkan iaitu menjauhkan diri daripada pasangan gelap puan, walaupun terpaksa menukar tempat kerja. Ini juga boleh dicapai dengan mengajak suami berpindah dekat dengan puan agar kekosongan puan terisi dan dapat menjalin hubungan yang halal dan diredhai Allah SWT.

Puan perlu faham bahawa syaitan akan sentiasa menggambarkan keseronokan zina dan akan membiarkan puan dengan penyesalan demi penyesalan setelah puan melakukan zina. Oleh itu cepat-cepat keluar dari hasutan ini dengan membina benteng keimanan kepada Allah SWT. Kenali kelemahan puan dan cuba penuhi dengan memperbaiki hubungan dengan suami puan bukan mencari cinta lain yang tidak ada jaminan. Sama ada sedar atau tidak puan telah dijadikan dan menjadikan diri puan sebagai hamba seks kepada cinta jarak jauh dalam memenuhi tuntutan seksual semata-mata.

kekasih gelap


Sememangnya kekasih gelap puan akan sanggup melakukan apa saja bagi mendapatkan khidmat seks percuma yang ditafsirkan sebagai cinta. Oleh itu pun, cepat –cepat keluar daripada fantasi ini dan kembali kepada cinta yang sebenar iaitu cinta Allah SWT dan cinta kepada suami puan.

Seterusnya puan perlu memperbaiki hubungan dengan suami dan pastikan puan tidak melahirkan anak-anak tidak sah taraf dengan kekasih gelap puan. Jika ini berlaku puan perlu berterus terang dengan suami dan membantu diri puan untuk menerima risiko ini.

Cuba fahami suami puan dan bantu suami puan untuk bertanggungjawab sebagai suami. Sikap cemburu suami dalam keadaan ini sangat diperlukan bagi membantu puan tidak menyeleweng dari landasan sebenar. Hargai suami dan terima suami seadanya.

Kangan jadikan kelemahan suami sebagai alasan untuk puan berzina. Walau seribu alasan yang puan berikan, puan perlu sedar bahawa perbuatan zina ini adalah salah dan dilaknati Allah SWT. Namun puan masih diberikan kesempatan waktu untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Sememangnya apabila kita sedar daripada kesalahan kita menganggap kita perlu memohon maaf dan mengakui kesilapan kita kepada orang yang berkaitan. Namun puan juga perlu pertimbangkan kebaikan dan keburukan untuk berterus terang akan dosa ini kepada isteri kekasih gelap puan dan suami puan.

Jika ia tidak melibatkan penghasilan anak tidak sah taraf dan sebagainya maka cukuplah puan memohon keampunan dari Allah SWT, kerana berterus terang akan mengeruhkan keadaan. Namun jika melibatkan kelahiran anak-anak tidak sah taraf maka orang yang pertama puan perlu berterus terang adalah suami puan. Oleh itu puan perlu belajar untuk meninggalkan masa lalu puan yang hitam pekat serta cuba mencipta bahagia bersama suami puan tanpa mengaitkan kekasih gelap puan lagi.

Puan yang dihormati, keluar daripada dosa masa lalu dan bertaubat adalah sikap yang mulia dan terpuji. Tambahan pula jika disertai dengan jemputan ke Baitullah dan menziarahi rasulullah SAW. Oleh itu puan perlu kemaskan diri dan kembali kepada hubungan yang berkat dan halal. Carilah peluang dan ruang untuk memohon keampunan di Baitullah. Puan perlu positif dengan Allah SWT dan yakin dengan keampunan yang dijanjikan-Nya.

SAMBAL GORENG JAWA



BAHAN-BAHANNYA :-)
5 tangkai kacang panjang, hiris serong
1 keping tauhu, dipotong kiub dan goreng, toskan
2 keping tempe berbungkus daun, dipotong kiub dan goreng, toskan
30 gram fucuk @ tauhu kering, kerat kecil dan rendam hingga lembut
1/2 cekak soo hoon, kerat pendek dan rendam hingga lembut
1 genggam isi udang
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1 batang serai, dititik
1 biji cili merah, hiris
1 biji cili hijau, hiris
1 camca besar sos tiram
1/3 camca teh pes asam jawa
1 camca besar cili kisar
1 camca besar kicap manis
Garam secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
Panaskan minyak dalam kuali, tumis hirisan bawang merah, bawang putih dan serai hingga harum. Masukkan cili kisar dan sos tiram, tumis hingga cili garing, guna api kecil dan kacau selalu. Masuk pes asam jawa dan isi udang, masak hingga isi udang berubah warna.
Tambah fucuk (toskan), tauhu, tempe, hirisan cili merah dan hijau. Gaul rata. Masukkan kacang panjang dan soo hoon (toskan). Kacau hingga rata.
Masuk kicap manis dan perasakan dengan garam secukupnya. Masak hingga kacang lembut. Rasa dan jika ok boleh dimatikan api. Hidangkan bersama ketupat atau nasi putih.

Wednesday, July 3, 2013

Apa Yang Sedang Kau Nikmati Itu Milik Allah

Bukan mudah sehalus kudrat jiwa yang lemah menongkah arus kehidupan yang dihuni pelbagai dugaan.  Tambahan lagi, di zaman yang kian mencabar minda dan fikiran.  Manusia bergerak, berinteraksi dan mencari peribadi sendiri diselimuti oleh kesibukan harian.  Manusia bertanding siapa kalah siapa menang mengumpul seberapa banyak timbunan harta yang menjadi impian.  Sehinggakan kita lupa tanggungjawab yang terpikul di bahu kita sebelum kita di hantar ke dunia pinjaman.
Janjinya kita apa?
Allah ‘Azza wa Jalla firmankan :
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan Manusia melainkan untuk beribadah kepadaku”. [Adz Dzariyat [51] : 56].
Tetapi, perhatikan sekeliling kita.  Manusia tanpa segan silu menabur kaca pada nikmat kurniaanNya.  Nikmat yang di kurnia di sangka usahanya sendiri mendapatkannya.  Tidak sedar dengan sifat pemurah Allah swt.  Terus menerus mencari harta tanpa tutup mata menghadap kalkulator.  Mencongak-congak untung rugi hasil kerja.  Masakan ahli matematik seorang hartawan tidak pandai membilang waktu solat wajib yang cuma ada lima.  Kenapa masih ada yang bijak pandai dikurnia akal sempurna tidak mampu mengingat waktu solat yang ditelah difardukanNya.
Alangkah lupanya kita, bahawa harta setimbun gunung itu tidak mampu menjadi tanah yang empuk buat tidur lena yang lama.  Harta yang diburu tanpa kira waktu tidak mampu membuka mulutmu menjawab soalan malaikat.

Milik Allah

Harta yang dimiliki hari ini belum tentu masih termiliki esok hari.  Jadi rezekimu cuma sekadar apa yang kau gunakan hari ini, makan di waktu ini dan pakaian yang dipakai kini.  Esok hari mungkin harta itu akan di tarik kembali kepada yang maha memberi.
Bersedekahlah, jangan takut kehilangan harta itu kerana berbuat baik kepadasesama makhluk akan mendamaikan hatimu.  Allah akan melipat gandakan apa yang telah kita sedekahkan.  Kalaupun tidak mendapat balasannya di dunia ini, akhirat nanti pasti akan terhitung tidak terkecuali.
“Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredhaan Allah melainkan akan diangkat darjatnya”.
(Riwayat Muslim)
Sedekah itu yang akan menjadi jariah.  Duit yang dikumpul kini hanya akan menjadi baja tanah.  Kecuali amalan sedekah itu lah yang akan mengalir sampai kepada kita sesudah kita kembali ke alam barzakh.
Keluarkanlah zakat untuk menyucikan harta.  Namun, ramai di antara kita mengabaikan hal ini.  Alangkah ruginya mereka yang mengetahui tetapi tidak mengambil berat.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Taubah ayat : 103 yang bermaksud :
” Ambillah (sebagai) zakat dari sebahagian harta mereka (kerana) dengan zakat itu kamu membersih dan menyucikan mereka.”
Firman ALLAH Subhanahu wa Ta`ala yang bermaksud:
Orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya di jalan ALLAH, berilah khabar gembira akan mendapat siksa yang pedih.  Yakni di saat emas dan perak itu dipanaskan di neraka jahannam, kemudian diseterikakan ke kening, pinggang dan punggung mereka.  Inilah harta yang kamu simpan-simpan buat dirimu itu.  Nah, rasailah hasil simpananmu!”  (Surah At-Taubah, ayat 34-35)
Kita tidak pernah memiliki apa-apa tanpa pemberianNya.  Tanda syukurnya kita atas anugerah yang Allah kurnia, makanya apa dikesalkan jika kita sama-sama berkongsi nikmat ini dengan insan lain yang memerlukan.
 Usah sombong mendabik dada pada nikmat Allah, jangan nanti papa barulah mula menadah tangan meminta sedekah.  Kerana Dia berhak memberi dan mengambilnya kembali.
.

Menghapuskan Fikiran Negatif Di Minda

Singkirkan Fikiran Negatif!

Memelihara fikiran negatif dapat diibaratkan membangunkan singa tidur. Fikiran – fikiran negatif itu nantinya akan membentuk peribadi-peribadi skeptis, pesimis dan kalah sebelum bersaing.
Daya saing seseorang menjadi sangat rendah. Kredibilitinya dipertanyakan dan tidak terlihat mampu dipercayai. Bila keadaannya sudah seperti ini maka memelihara fikiran – fikiran negatif sama sekali tidak akan menguntungkan.
Maka abaikan dan hapuskan bila fikiran negatif mula bersarang di hati.
Bayang – bayang gagal, takut membina sesebuah hubungan suami isteri, trauma masa lalu dan fikiran negatif lain sebaiknya segera dihilangkan.
Fikiran – fikiran negatif itu harus digantikan dengan semangat optimis dan selalu menaruh harap kepada Allah yang kita bergantung harap.

Jangan Berkeluh Kesah Tentang Perkara Yang Tidak Dimiliki

Merupakan sebuah kebahagiaan luar biasa bila kita lebih sibuk mensyukuri apa yang telah kita miliki dan tidak mahu mencaci apa yang tidak kita miliki.
Hidup ini adalah rentetan syukur yang tidak berkesudahan, bukan caci maki kufur nikmat yang tidak akan habis dikenang.
Apa yang berada di tangan lebih bererti daripada apa yang ada di pandangan. Angan – angan yang membayang hanya akan menyisakan harapan tidak berkesudahan, sedangkan rasa syukur terhadap apa yang dimiliki dapat menampung jiwa untuk menjadi hamba Allah yang bersyukur.
Selalu melihat pada kesyukuran hati dan tidak mendongak ke atas terhadap apa yang tidak kita miliki. Ini adalah masalah sejauh mana kita bersyukur, dan sejauh mana usaha kita menghindari kekufuran.
Selalu sahaja ada nikmat yang tidak ada pada kita, dan selalu sahaja ada kekurangan yang kita miliki. Sebeberapa melimpah nikmat dunia ini tidak akan dapat kita miliki semuanya.
Mencuba berhenti berangan dan lebih yakin dengan apa yang ada di tangan sangat disarankan bagi hati hamba yang lemah seperti kita.

Jangan Mendengar Gosip

Sudah pasti gosip berkawan baik dengan fikiran negatif. Memang kecederungan telinga kita  adalah mendengar apa yang membuat kita seronok, apa yangmembuatkan kita gembira  dan apa yang membuatkan rasa ingin tahu membuak – buak.
Namun kadang kala rasa ingin tahu itu hanya akan memberikan penyesalan. Apatah lagi bahan percakapan yang dibincangkan adalah kita. Huhu.. sangat prihatin!
Oleh itu alangkah lebih baik kalau kita tidak mendengar semua yang diperbincangkan orang tentang kita. Manusia yang memberi komen itu adalah hal biasa, yang tidak biasa adalah kita yang selalu memberi respons terhadap apa sahaja komen mereka.
Kadangkala telinga lebih baik ditutup dan mendengar yang baik – baik sahaja.

Bila Kesedihan Dan Kekecewaan Datang Menyapa Lagi


kesedihan dan kekecewaan
kesedihan dan kekecewaan | Broken heart by ~beetleman
Ramai yang menitiskan air mata di saat sedih, kecewa. Setiap manusia sudah diciptakan begitu. Inilah yang dinamakan fitrah.
Namun, kadang-kadang, kesedihan dan kekecewaan kita itu berpanjangan. Ramai yang sedih kerana kehilangan sesuatu yang di sayangi, kegagalan dalam sesuatu pekerjaan dan pelbagai lagi.
Semua ini lah yang dinamakan mehnah dan juga tribulasi buat kita semua di dunia ini. Sukar dan perit untuk melalui semua ini.
Jadi di sini, ingin saya berkongsi sedikit bersama sahabat dan juga seluruh pembaca tentang bagaimana untuk kita mengurangkan rasa sedih dan kecewa itu.
Dengan harapan semua ini dapat memberi manfaat kepada anda dan juga saya.
Kadang-kadang hati kita terasa gelisah dengan apa yang membuatkan hati kita sedih dan kecewa. Ada sesetengah dari kita, bertindak di luar kewarasan akal.
Ada yang marah kepada insan lain yang mungkin menjadi penyebab kepada kesedihan kita itu, ada yang berfoya-foya dan membuang masa bersama rakan. Semua itu usaha mereka untuk hilangkan kekecewaan.
Tidak kurang juga mereka yang berkurung di dalam bilik, tidak makan, tidak bercakap dan sudah tidak seperti manusia lain. Pada peringkat awal kita mengalami kesedihan dan kekecewaan ini, mungkin murung itu perkara biasa.
Tetapi, wajarkah jika kemurungan itu berpanjangan? Apakah ianya member kesan yang baik untuk kita? Sama-sama kita renungkan seketika.

Kesedihan Dan Kekecewaan

Apabila kesedihan dan kekecewaan ini datang menyapa, berilah ruang dan waktu untuk diri kita berehat sekejap, muhasabah diri kita.
Kerana mehnah dan tribulasi yang kita hadapi itu datang dari Allah.
Kadang-kadang melalui ujian itu, DIA ingin mengingatkan sesuatu kepada kita. Itulah pentingnya untuk kita berfikir sejenak, renungkan kehidupan kita selama ini. Mana yang tidak elok, kita cuba perbetulkan.
Ingat lah kembali apa tujuan kita hidup. Adakah ianya hanya untuk mendapatkan apa yang kita inginkan? Adakah kita yang menguasai dunia ini? Dan adakah tempat tinggal kita selamanya di dunia ini?
Kita hidup ini, bukan hanya untuk mendapatkan apa yang menyeronokkan hatikita. Saya dan anda juga pernah melalui saat-saat kesakitan dan kesedihan dalam menghadapi ujian Allah SWT.
Kadang-kadang, saya sendiri rebah dan terasa sudah tidak terdaya lagi untuk bangun. Tetapi, bila difikirkan kembali, ‘apakah tujuan aku hidup?’.
Persoalan tu benar-benar menusuk ke jiwa. Dan saat ini harus kita ingat, di dunia ini cuma persinggahan, tempat untuk kita mencari sedikit bekalan untuk dibawa kembali kepadaNYA nanti.
Seterusnya, sematlah di jiwa dan minda kita bahawa semua yang ada di dunia ini termasuklah tribulasi dan mehnah yang kita dapat itu adalah datang dari Allah.
Apa yang kita sayang itu juga datang dari Allah, kejayaan dan kegagalan itu juga datang dari Allah. Hatta, perasaan sayang, kecewa, sedih dan gembira itu juga datang dari Allah.
Kesedihan Dan Kekecewaan
Kesedihan Dan Kekecewaan
Semuanya datang dari Allah. Jadi, usah lah kita bersedih berpanjangan, kerana Allah bersama kita dalam apa jua keadaan dan semua itu datang dari Allah dan pastinya perasaan sedih dan kecewa itu juga lama-kelamaan akan pergi.
Dekatkan lah diri pada Allah. InsyaAllah DIA akan membantu kita.
Seseorang yang berusaha menjadi hamba yang soleh dan solehah itu, pasti akan mengaturkan langkahnya di bumi ini dengan rapi dan kemas.
Langkah itu bertunjangkan satu matlamat iaitu untuk mendapatkan keredhaan Allah.
Di saat kesedihan, cubalah pujuk hati, ucapkanlah “Ya Allah, hamba terima semua yang berlaku ini untuk mendapatkan keredhaan-Mu, kuatkanlah hamba untuk menghadapi semua ini.”
Memang kadang-kadang walau sejauh mana pun kita memujuk hati ini, terdetik juga kesedihan itu walau se saat. Kan?
Walaupun begitu, cubalah untuk terus mendidik hati kita untuk sentiasa bergerak hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah. Percayalah pada Allah. DIA menetapkan sesuatu yang terbaik untuk kita.
Apabila kita redha, DIA akan meredhai hidup kita. Dan di setiap kesedihan itu, pasti DIA telah mempersiapkan sesuatu yang membahagiakan kita.
Yang terakhir, banyakkanlah berzikir dan berdoa. Semua ini terlalu mudah untuk kita lakukan kerana perlakuan ini tidak terhad. Di mana pun kita berada, kita boleh untuk berzikir dan berdoa.
Perkara ini cukup penting walaupun mudah. Kerana kedua-dua aspek inilah yang akan menghubungkan hati kita dengan Allah setiap masa.
Penutup:
Semua yang dinyatakan di atas ini hanyalah sedikit perkongsian buat sahabat. Mungkin ada tips-tips lainnya untuk mengurangkan kesedihan dan kekecewaan itu.
Tetapi inilah yang sentiasa saya praktikkan untuk diri ini. Kadang-kadang air mata itu tetap mengalir di saat kesedihan dan kekecewaan. Tetapi dengan perkara di atas ini, serba sedikit saya mampu memujuk hati ini.
Jika terdapatnya pertambahan, boleh lah kita kongsi bersama. Semoga hidup kita sentiasa di berkati oleh NYA.
Teruskan berusaha menjadi manusia yang lebih baik walaupun dosa masa lampau kita itu mungkin terlalu besar dan memberi kesan mendalam pada hidup kita. Namun, percayalah pada Allah. Yakinlah pada DIA.
.

Tuesday, July 2, 2013

Mutiara Kata Kehidupan Nukilan Prof. Hamka

Sedikit biodata Hamka

Prof. Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenal dengan julukan Hamka, iaitu singkatan namanya, (lahir di Sungai Batang, Tanjung Raya, Kabupaten Agam,Sumatera Barat, 17 Februari 1908 – meninggal di Jakarta, 24 Julai 1981 pada umur 73 tahun) adalah sasterawan Indonesia, sekaligus ulama, ahli falsafah dan aktivis politik.

Antara karya beliau yang terkenal adalah Tafsir Al-Azhar, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Di Bawah Lindungan Kaabah. 

Kata-kata Mutiara Lakaran Prof. Hamka

Kehidupan di dunia ini adalah laksana lautan yang jarang tenang. Airnya beriak terus, bergelombang dan berombak.Kesusahan terletak dalam kemudahan dan kemudahan pun terletak dalam kesusahan.
Hidup adalah perjuangan, sekali ombak naik , sekali ombak turun. Kadang-kadang kita memukul dan kadang-kadang kita dipukul:

Memang benar apa yang ada difikiran Hamka itu. Kehidupan ini ibarat putaran roda, hari ini kita di caci dan dihina, kemudian dengan peluang dan kesempatan memperbaiki kesilapan lalu, kita mungkin menjadi orang yang lebih baik daripada mereka.
Hidup di dalam dunia ini laksana orang keenakan dalam kapal besar belayar di samudera luas. Terasa indahnya ombak yang bergulung-gulung itu. Maka rasailah kelazatan pelayaran. Tetapi keindahan yang dirasa itu sangat terbatas iaitu sebatas kapal. Tak usah kita lompati laut itu kerana hendak merasai lazatnya kehidupan laut, lebih baik lihat saja!
Begitu juga dengan apa jua pekerjaan yang kita lakukan di dunia ini, kebahagiaan yang kita rasai, kekayaan yang kita miliki sedikit ataupun banyak, renangilah dengan ikut jalannya secara natural. Jangan pandai-pandai  mengubah rupa bentuk, melakukan yang luar biasa seperti seks songsang, perzinaan dan lain-lain perkara maksiat di jalan yang kita lalui. Laluilah ia dengan tenang dan fitrah yang dibenarkan oleh syariat Islam.
Bahawa manusia itu bukanlah didatangkan Tuhan ke dunia ini hanya untuk semata-mata datang. Bahkan ditunjukkan pula kepadanya jalan mana yang mesti ditempuhnya, agar dia selamat. Kerana hidup pasti diakhiri mati. Dan perjalanan bukanlah semata-mata sehingga mati sahaja. Selepas mati ada lagi sambungan hidup iaitu hari kebangkitan, yang bernama Hari Kiamat.
- Hamka , Tafsir Al-Azhar. 
Memang benar apa yang dilakar oleh Prof. Hamka di atas. Saya ambil antara banyak kata mutiara daripada beliau untuk kita renungi, kenang kembali dan memandang masa depan dengan dalam hati punyai visi kehidupan yang jelas.